Thursday, December 11, 2014

Hari ke 11 berpantang

Alhamdulillah..hari ini selesai berurut selama 3 hari berturut-turut tukang urut datang rumah. Itupun cari tukang urut dalam facebook. Dari syarikat Bless Beauty Confinement. Syarikat yang keluarkan produk set bersalin Nona Roguy. Aku cuma ambil pakej urut bersalin sahaja. Cas rm70 untuk 1 sesi.

Dengan rasminya, baby ke 4 ini dinamakan Muhammad Naufal bin Mohd Fairuz.. Dicadangkan oleh Tok dan abg.  Muda-mudahan ada keberkatanya. NAUFAL bermaksud pemurah, dermawan.

Selesai menamakan dan tahnik untuk Naufal pada hari ke 7 selepas keluar wad. Cuma masih belum berkesempatan untuk mencukur rambutnya.

Alhamdulillah Naufal tak banyak ragam... sekarang dia masih banyak tidur lagi. Nangis bila nak susu dan bila time mandi. Sebab aku masih belum kuat nak mandikan dia lagi. Mandi pun ala kadar je. Sehari sekali.

Cum yang masih merisaukan ialah kuningnya.. dah 2 kali berulang ke klinik tapi bacaan kuning masih belum turun. Masa keluar wad bacaannya 191. Pergi klinik bacaan naik ke 194. Pagi tadi ambil darah lagi bacaan naik ke 215. Esok kena ulang lagi ke klinik untuk ambil darah. Mujur abg masih cuti lagi.

Memang keempat-empat anak aku semuanya kena demam kuning. Paling lama ialah Haziq sampai kena prolonged jaundice selama sebulan. Jenuh berulang alik klinik di kampung. Kebetulan masa tu abg memang ada keje di kampung. 3 minggu jugalah berulang alik klinik dan ambil sampel bagai. Alhamdulillah semua normal. Cuma masalah Haziq masa tu adalah susah nak buang air besar. Itupun salah satu punca yang kuning susah nak turun. Masa tu berpantang pun rasa kejap je sebab ulang alik klinik je banyak.

Banyak juga cabaran bila berpantang sendiri ni. Semuanya kena hadapi dengan sabar. Kadang-kadang menangis juga sebab pening menguruskan anak-anak yang lain. Tapi terpaksa hadapi juga. Sementara abg masih cuti bolehla abg uruskan semua... minggu depan abg dah pun mula kerja semula..

Wednesday, December 3, 2014

Hari ketiga berpantang

Hari ini masuk hari ketiga berpantang setelah melahirkan adik. Alhamdulillah kesihatan adik semakin baik bila adik mampu menyusu dan kerap menyusu. Adik pun banyak berak dan kencing selepas menyusu. Mudah-mudahan adik cepat sembuh.

Ummi ditempatkan bersama adik di Pusat Bersalin Berisiko Rendah Presint 8. Dah cukup baik bila Allah izinkan ummi bersama adik setiap masa berbanding masa adik di nicu sebab ummi tak dapat temankan adik di sana. Ummi dan adik kena tinggal di sini sehingga hari ke tujuh adik nanti. Lama rasanya...tapi demi kesihatan adik...ummi akan tetap bersama adik.

Alhamdulillah Allah kurniakan susu yang banyak untuk adik. Hari ketiga dah cukup banyak susu ummi untuk adik hingga ummi rasa bengkak susu. Setiap kali lepas adik menyusu, ummi akan pam semula untuk keluarkan susu yang banyak untuk elakkan ummi sakit sebab bengkak susu.

Alhamdulillah...mudah-mudahan Allah sentiasa memberi kesihatan yang baik buat adik, ummi, ayah, abg Aqil, abg Haziq, abg Haikal serta Tok dan Tok Wan yang ada juga bersama menjaga abg-abg adik masa ummi di wad bersama adik... Amin..

Mengandung dan melahirkan adik (anak ke 4)

Alhamdulillah...segalanya selamat selama mengandung hingga melahirkan adik pada 1 Disember 2014 pukul 3am di Hospital Putrajaya.

Adik lahir setelah stress dalam perut ummi dan tertelan najis sendiri. Kuasa Allah tiada siapa dapat menghalang walau ummi setiap hari berdoa semasa mengandungkan adik agar sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dipelihara Allah sehingga saat adik dilahirkan.. Ummi juga sentiasa memohon pada Allah agar Allah mengurniakan anak perempuan pada kandungan ummi yang keempat ini. Namun Allah dah punya perancanganNya untuk ummi dan ayah. Allah kurniakan juga pada ummi dan ayah anak lelaki iaitu adik.  Namun itu bukanlah penting...yang penting anak yang Allah kurniakan  sihat dan sempurna.

Sedari awal mengandungkan adik, ummi tak menghadapi sebarang masalah. Ummi tak pernah tahu kewujudan adik dalam perut ummi sehinggalah suatu hari ummi tergerak untuk scan perut ummi di klinik sebab setiap hari ummi rasakan perut ummi semakin membesar. Bila scan dan doktor kata ada baby dah berusia 20 minggu..ummi sungguh-sungguh terkejut. Perasaan ummi bercampur baur antara terkejut, pelik dan bersyukur adik masih sihat dan bernyawa.

Sebab sebulan sebelum itu, ummi pernah turun darah yang agak banyak dan ummi sangkakan itulah period ummi. Tapi memang pelik keadaan darah yang turun sebab terlampau banyak. Rupanya Allah masih pelihara adik dalam kandungan ummi. Masa itu juga ummi baru hentikan pengambilan pil perancang ummi ketika adik berusia 20 minggu dalam kandungan.

Kalaulah ummi tahu kewujudan adik dalam perut ummi, ummi akan jaga sebaiknya dari awal. Ummi takkan lasak sangat, ummi takkan teruskan ambil pil perancang, ummi takkan makan nanas bila masa berbuka puasa, ummi takkan pakai pad herba sehingga ummi tumpah darah masa kandungan 15minggu..ummi takkan beli dan pakai corset bila ummi nampak perut ummi makin membesar...dan semua kesilapan-kesilapan ummi masa mengandungkan adik.. maafkan ummi adik...

Memang ummi akui masa mengandungkan adik banyak cabaran dan tekanan yang ummi hadapi. Selalu juga ummi menangis bila keadaan sedih. Ummi stress bila menguruskan dan menghadapi karenah abg-abg adik yang tengah membesar. Ummi letih setiap hari bila balik dari kerja. Ditambah dengan keadaan ummi yang semakin sarat...ummi rasa keletihan yang amat sangat. Ummi tahu ummi tak boleh bersedih bila mengandung...tapi ummi rasa tak mampu nak hadapi ujian dari Allah... lemahnya ummi...

Bila adik dilahirkan dalam keadaan stress dan tertelan najis sendiri..sedikit sebanyak ummi rasa terkilan dan ralat juga..kenapa adik stress..kesian adik sebab dah tertelan najis sendiri..masa ummi berjuang melahirkan adik, adik juga berjuang untuk hidup dalam perut ummi sehingga adik dilahirkan..

Selesai saat melahirkan adik, ummi langsung tak berkesempatan untuk pegang dan lihat wajah adik. Nurse terus bawa adik untuk sedut najis yang adik dah telan. Nurse juga cuba untuk selamatkan adik bila masa adik lahir, hampir-hampir terbelit tali pusat dan takut adik lemas. Ummi sungguh-sungguh keletihan selepas melahirkan adik dan tak mampu nak bergerak semasa masih di labour room.. nasib ummi masa tu katil di wad penuh dan ummi dibenarkan duduk di labour room untuk beberapa jam. Selepas 2 jam baru nurse tunjukkan adik pada ummi untuk diberi menyusu. Tapi hanya sempat 5 minit sahaja..dan selepas itu..adik terpaksa dibawa ke nicu untuk duduk di sana. Tinggallah ummi keseorangan sehingga waktu tengahari ummi dishacrge dari wad bersalin dan ummi pergi melihat adik di nicu. Apa yang ummi fikirkan adalah adik tak lapar ke sebab dah hampir 10jam adik tak menyusu. Bila ummi dan ayah datang melihat adik di nicu..adik hanya tidur dan hanya dipakaikan pampers sahaja. Ada antibiotik yang doktor masukkan di tangan kiri adik..

Tengahari itu juga doktor izinkan ummi untuk susukan adik tapi selepas itu ummi kena balik ke rumah. Nampak adik sangat lapar bila menyusu dengan ummi...kesian adik...adik juga berjuang untuk hidup.. alhamdulillah penerangan dari doktor tentang adik adalah semuanya ok. Ada sedikit sahaja jangkitan pada paru-paru adik.

Malam dan pagi esoknya ummi tiada susu untuk diberikan pada adik. Doktor dah beri adik susu formula untuk elakkan adik lapar...ummi pasrah... alhamdulillah hari kedua Allah izinkan ummi untuk bersama adik bila doktor melihat keadaan adik bertambah baik. Adik dipindahkan ke pusat bersalin berisiko rendah bersama ummi. Bolehla ummi sentiasa bersama adik. Mudah-mudahan susu ummi dapat menjadi penawar terbaik untuk adik. Terpaksalah ummi berkorban untuk 5 hari seterusnya berada bersama-sama adik untuk menghabiskan ubat antibiotik adik. Ayah pula terpaksa berkorban untuk menjaga abang-abang adik yang lain di rumah.

Mudah-mudahan adik terus sihat selepas ini. Amin...

Thursday, November 27, 2014

Sambutan Majlis Harijadi Aqil di Nasyrah Child Care Centre SPA

Semalam diadakan Sambutan Harijadi di Nasyrah Child Care Centre SPA. Sempatlah abg dan Haziq pergi sekejap. Rupanya sambutan untuk harijadi Bulan Disember diadakan sekali semalam. Kalau ikutkan Birthday Aqil nanti 21 Disember. Jadi Teacher Aqil pun suruh juga Aqil untuk duduk depan dengan kawan-kawan yang lain. Cuma silapnya takde kek untuk Aqil sebab aku tak tau pun ada sambutan sekali. Jadi Aqil bergambarlah dengan kek kawan-kawannya. Mungkin Aqil terasalah juga sebab takde kek untuk dia..kesian juga pada Aqil.

Haziq di sekolah abg

Bergambar bersama kek masing-masing

Penerangan dari Teacher Suhaiza

Seronok Haziq


Persediaan

Tengok kek kawan-kawan je

2 Hari Haziq ikut ayah duduk di Pejabat

Jadi semalam lepas aku check up di klinik kesihatan, sempatlah juga singgah kedai kek Baker Cottage depan rumah tu belikan kek untuk dia. Balik sekolah semalam pun apalagi dia pun tak sabar-sabarlah nak potong kek.

Aqil potong kek

Bergambar sebelum potong kek



Semalam ambil Haikal awal dalam pukul 3pm. Masa tu dia tengah tidur kat rumah pengasuh. Tapi kejutkan jugalah. Tapi bila sampai rumah, dia meragam, mengamuk, menangis tak tau nak apa.. sampai terbawa-bawa masa tidur malam pun asyik menangis dan mengamuk je. Tapi bila waktu main dengan abg-abgnya elok pula...Macam-macam ragam si Haikal ni.

Haikal yang suka main dengan abg Haziq




Tuesday, November 25, 2014

Masuk 39 minggu

Hari ini dah 39 minggu usia kandungan...masih belum ada tanda-tanda aku nak bersalin. Rasa lambat pula kali ni nak bersalin. Tiga orang anak sebelum ni semua bersalin sekitar 38 minggu dan tak lebih sampai 39 minggu. Sekarang pun dah rasa tak larat nak jalan. Apatah lagi dari tempat parking kereta ke pejabat. Malam-malam dah susah tidur sebab perut selalu mengeras dan sakit terasa menekan pundi kencing.

Semalam aku dan abg cuti jaga anak-anak. Kebetulan sekolah Aqil pun cuti sebab hari graduasi sabtu lepas. Sabtu Ahad pun kami tak kemana sebab Abg, Haikal dan Haziq kena cirit birit dan tak berapa sihat. Alhamdulillah Haziq ok bila minum teh o pekat tanpa gula tu. Hilang sakit perut dan cirit biritnya.

Cuma Haikal je masih cirit birit dan harini pengasuh bagitau yang Haikal muntah melambak lepas minum susu dan lepas tu berak cirit pula...ya Allah...kesian Haikal... tak tahu lah apa puncanya sampai kena cirit birit. Ingatkan sebab ubat titis telinga yang Haikal ambil tu buat dia cirit. Tapi abg dah call doktor di klinik pakar cakap ubat titis telinga tu ok. Takdalah sampai boleh buat cirit dan muntah. Tapi Haikal cirit birit dan muntah pula hari ni...

Cepatlah sembuh anakku...kesian bila tengok Haikal kena makan macam-macam ubat.

Malam-malam pun Haikal susah tidur dan asyik menangis. Mungkin jangkitan telinga dia sama tu...kesian Haikal...

Friday, November 21, 2014

Temujanji haikal di klinik ent

Alhamdulillah selesai sudah temujanji untuk Haikal di klinik Pakar ENT Hospital Putrajaya pukul 11am tadi. Alhamdulillah dah berkurangan nanah dalam telinga Haikal. Tapi masih ada lagi. Masih kena jaga kalau masa mandi sebab tak boleh masuk air.

Haikal masih kena titis ubat ke dalam telinga dia selama 10 hari. Next appointment adalah pada 26 Disember nanti. Rasanya aku masa tu masih dalam pantang. Diharapkan telinga Haikal sembuh sepenuhnya.

Lepas habis appointment tadi terpaksa hantar terus semula ke rumah pengasuh. Sebab aku rasa tak larat nak jaga dia time rehat ni. Petang ni nak kena masuk pejabat balik. Dengan jalan banyak tutup lagi sebab ada formula eprix tu.

Ubat titis telinga untuk Haikal selama 10 hari
Sementara menunggu giliran dipanggil
Tengah seronok sebelum jumpa doktor

Thursday, November 20, 2014

Mohon Sekeping Hati Yang Tabah..




Memang enak dapat makan manisan pencuci mulut

Walau pun sedar tak sedar, ada penyakit yang sedang kita jemput. 

Memang tak seronok bila terpaksa mengharung pahitnya sebuah ujian 

Sedangkan itulah yang buat kita semakin matang menilai kehidupan... 

Antara manisnya gula dan manisnya madu
Kita mungkin keliru dan mudah tertipu
Antara masamnya mangga dan masamnya cuka
Kita mungkin tersilap menilai resamnya.





Ya Allah
Suratmu ini sudah ku terima
Sudah ku faham dan ku hadam maksudnya

Baiklah
Aku akan melangkah seperti yang diarah
Namun
Perhatikan aku ya Allah
Iringi aku dengan kekuatan mujahadah
Peluk aku erat-erat agar aku tidak lagi tersalah

Aku merayu bantuan-Mu
Sungguh
Tidak akan termampu aku 
Bergerak walau seinci
Tanpa bantuan yang Kau beri.

Ya Allah
Keluarkan aku dari sini dengan selamat
Permudahkan ku tembusi pintu taubat
Agar akhirnya nanti 
kita bisa bertemu
Dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. 

Ya Allah, 
Tunggu aku.

Wednesday, November 19, 2014

Aku hanya ada ALLAH....


Hari ini benar-benar rasa diri diuji...  aku rasa tak mampu nak hadapi semua ujian ni...tapi aku terpaksa hadapi juga... aku cuma ada Allah untuk mengadu segala kelemahan diri. .. aku pujuk hati bahawa aku ada Allah...Allah Maha Melihat segala susah payah yang terpaksa aku lakukan... Setiap orang pasti ada ujiannya sendiri... Malah ada orang yang lebih hebat Allah uji dari aku...walaupun hati aku terluka dengan orang-orang disekelilingku yang tak memahami keadaan aku...aku hanya ada Allah untuk aku mengadu...

Aku cuma penat mengandung 38 minggu... aku pening dan rasa nak marah dengan karenah anak-anak yang tengah membesar dan susah nak dengar kata dan suka mengamuk... aku penat pergi dan balik kerja sebab kena jalan jauh dari parking kereta ke pejabat walaupun hujan dan panas terik kena aku hadapi juga...walaupun perut dah tak larat aku terpaksa juga dukung haikal untuk hantar pergi balik rumah pengasuh... memang aku letih dan rasa tak larat.. tapi aku paksa diri untuk lakukan semua untuk anak-anak.... kadang-kadang memang rasa kesian pada anak-anak bila lepas marah.. tapi aku kena cuba juga usaha untuk memahami dan melayan karenah mereka...

Haikal pula setiap malam susah sangat nak tidur...dah pukul 11 malam...kadang-kadang lewat...baru boleh tidur...tengah-tengah malam selalu menangis... belum kira dia mengamuk petang-petang bila balik dari rumah pengasuh sebab dah mengantuk... Aqil dan Haziq pula selalu je main jadi gaduh..sampai tak larat nak marah pada diorang..Haziq pula selalu je menangis bila gaduh dengan abgnya..

Ya Allah..kurniakanlah ketabahan dan keimanan pada diri aku untuk hadapi semua ini...


Tuesday, November 18, 2014

38 minggu





Hari ini masuk 38 minggu. Aku pun baru je balik dari klinik untuk pemeriksaan rutin biasa.. semua ok...tekanan darah dan baby pun ok. ALLAH....bila la nak bersalin ni... aku rasa macam dah tak larat sangat dah ni.. rasa baby ni menekan kuat sangat kat belah bawah terutamanya masa mengeras... nak tidur malam pun dah tak selesa sebab perut kerap mengeras...kaki pun selalu setiap malam mesti lenguh-lenguh... memang buat aku tak boleh tidur..

Kalau nak tidur pula...aku tak boleh nak dengar bising-bising...dah la anak-anak main pun bising...suruh tidur pun susah...  tengok rumah bersepah pun aku rasa rimas..kenapalah agaknya...macam-macam betul perasaan orang mengandung ni...abg memang kena sabarlah dengan perangai aku...nak masak pun dah tak larat. Sekarang ni kalau balik kerja petang..memang abg la yang akan masak untuk anak-anak dan suap makan. Aku pun takde selera sangat nak makan. Abg jugaklah yang kena mandikan anak-anak....nasib baik abg nak.juga buat semua tu..

Ya Allah..mudahkanlah proses untuk aku bersalin nanti.. mudah-mudahan anak ini pun selamat...berilah aku kesabaran dan ketabahan untuk melalui proses sakit bersalin nanti... amiin..

Monday, November 17, 2014

Telinga Haikal masih belum sembuh...

Sudah habis 10 hari ubat titis telinga dan antibiotic dari Klinik Pakar ENT yang Haikal kena ambil. Tapi telinga Haikal masih belum ada tanda-tanda sembuh. Malam tadi paling teruk bila tengok Haikal susah untuk tidur dan hanya akan menggaru di lubang telinganya. Risau juga bila keadaan masih lagi sama tiada perubahan. Telinga Haikal Nampak berair di lubang telinga luar dia. Takut juga di telinga bahagian dalam Haikal masih bernanah. Aku cuba juga untuk suluh dan tengok tapi tak Nampak sebab ada selaput putih di bahagian tengah telinga dia.

Risau juga sebenarnya. Takut ada kesan lain. Ni nak kena tunggu jugakla temujanji seterusnya dengan doctor di Klinik Pakar ENT Jumaat 21 November 2014 ni. Menangis lagi la Haikal bila kena periksa telinga dia. Sebab doctor akan masukkan camera dan sedut cecair yang ada dalam telinga dia. Kesian Haikal..Harap-harap tiada yang bahaya pada Haikal..

Aku pula sedang menunggu masa nak bersalin ni.. Esok genap 38 minggu usia kandungan. Persediaan semua dah siap. Cuma risau sebenarnya nak tempuh rasa sakit bersalin tu. teringat-ingat sakit bersalin sebelum  ni. Hanya doa je la sekarang ni semoga dipermudahkan ALLAH semuanya.


Monday, November 10, 2014

37 minggu kandungan

Masuk 37 minggu usia kandunganku sekarang ini..Alhamdulilllah setakat ini semuanya baik dan tiada sebarang masalah. Aku masih menunggu saat waktu untuk bersalin yang aku jangkakan tinggal seminggu sahaja lagi. Sebabnya pengalaman bersalin ketiga-tiga anak sebelum ini semuanya cukup 38 minggu terus bersalin.

Scan masa 20 minggu yang lepas nampaknya anakku yang keempat ni Allah kurniakan rezeki anak lelaki lagi. Sebenarnya aku tak kisah pun jantina anak ni sebabnya yang penting sihat dan selamat bersalin. Tapi kalau Allah kurniakan anak perempuan kali ini tentu aku teruja juga sebab aku masih belum ada anak perempuan..Teringin juga nak ada anak perempuan..tapi semua kuasa Allah..Allah yang memberi rezeki... terima sahaja seadanya dan yang penting cukup sifatnya. Amin..

Badan pun adakalanya rasa kuat..tapi banyaknya memang rasa cepat penat dan letih. Kalau boleh nak tidur dan baring sahaja sebab nak rehat. tapi bila duduk rumah dan dengan tiga orang hero yang tengah lasak pula..memang kadang-kadang perlu paksa diri untuk buat kerja dan melayan karenah mereka tu.

Perangai Aqil pula memang selalu buat aku dan abg marah. Sebabnya dia suka kacau dan berebut barang dengan Haikal Haziq. Dah dua kali Aqil buat Haikal sampai jatuh. semalam kali kedua dahi haikal kena lantai sebab jatuh dan bengkak agak besar juga. Cuma nasib baik tak berdarah je la. Aku dan abg tuamkan dahi Haikal dengan kain dan sapu minyak zaitun. hari ini nampak surut jugak bengkaknya cuma kesan lebam biru tu masih ada lagi. Mudah-mudahan Allah masih memberikan kesabaran dan keimanan pada aku dan abg dalam nak mendidik dan membesarkan anak-anak ni.

Haikal yang suka menulis

Menulis sambil duduk pula



Haikal suka sangat naik kereta ni. selalu berebut dengan abg-abgnya



Setiap pagi sebelum keluar rumah

Thursday, November 6, 2014

Haikal ke klinik pakar ENT lagi...

Pagi tadi sempat aku dan abg bawa Haikal ke klinik kesihatan presint 9 sebelum bawa Haikal ke Klinik Pakar ENT untuk periksa telinga dia.

Mulanya malam tadi la. Masa dia tengah tidur, aku nampak dia usik-usik lubang telinga dia dan korek lubang telinga tu. Bila aku cuba tekan telinga dia bunyi macam ada air. Apalagi suluh pakai torchlight nampak ada lendir macam nanah. Ambil putik kapas dan korek sikit memang betul ada nanah lagi. Pelik juga sebab dia tak demam dan selesema.

Malam tadi pun dua kali dia nangis dan mengamuk masa tidur. Jenuh juga nak memujuk. Tak pasti samada dia memang ngigau atau dia sakit telinga.

Pergi Klinik Pakar ENT di Hospital Putrajaya...alhamdulillah kali ni tak tunggu lama nak jumpa doktor. Tapi doktor bising jugaklah sebab mandi tak tutup lubang telinga dan tak titis ubat cairkan tahi telinga yang dia bagi. Bukan aku tak nak bagi...tapi tak larat tengok dia menangis dan meraung-raung. Nak pegang pun tak larat. Perut pula dah masuk 36 minggu. Tunggu masa je nak bersalin ni.

Baru je seminggu lebih ok dari selesema dan nanah telinga dia tu... hari ni jadi balik...mana lah tak risau sebab takut ada kesan pendengarannya nanti.

Doktor bagi ubat macam biasa untuk titis dalam telinga dan antibiotik augmentin tu. Cepatlah sembuh Haikal...kesian bila tengok kena makan ubat dan titis ubat dalam telinga...

Alhamdulillah...semalam scan perut dengan doktor dan kandungan semua alhamdulillah sihat. Tunggu masa je la nak bersalin ni. Entah 2 minggu lagi or 3 minggu...



Nampak ada nanah dalam telinga dia

Monday, October 27, 2014

Hadiah untuk anak-anak

Sebenarnya mainan aqil haziq memang dah berlambak-lambak terutamanya kereta. Dari saiz yg paling kecil sampailah yang besar. Semuanya kereta besi yang ayahnya belikan. Tapi hari ini aku belikan hadiah pula untuk aqil haziq. Sebab bukan diorang yang minta, mainan ni jadi hadiahla... selalunya mainan depa yang nak sangat-sangat beli sampai nangis-nangis nak jugak... ayahnya la yang kopak duit...

Mainan ni aku beli bukannya sebab apa...kesian kat depa sebab selalu main kereta takde track atau lane...mainlah letak barang bawah karpet nak bagi macam naik bukit sikit...lepastu susun kereta banyak-banyak nak buat konon macam traffic jam...hehe... ada je idea depa ni nak main...

Lagipun aku sengaja masuk kedai buku pustaka rawang tadi lepas check up ibu mengandung. Tengok-tengok ada mainan baru pula. Aku yang terujua nak beli. Lagipun harganya ok la mampu beli rm35. Beli satu je pun... depa kena main sma-sama...

Cerita tentang checkup tadi.. aku keluar dari pejabat nak ke klink tadi pun dah pukul 2.30pm. Sebab biasanya periksa sekejap je sebab tak jumpa doktor. MashaAllah hujan punya lebat masa aku nak parking kereta. Terpaksalah redah juga dengan kain dan lasut habis basah..

Hb darah, tekanan darah dan berat alhamdulillah ok takde masalah. Jantung baby pun ok nurse tu cakap...bacaan dalam 152 dan 153.. tapi saiz perut aku je yang kecil sebab sepatutnya 35minggu dah 35cm. Tapi tadi periksa saiz perut 33cm pula. Tapi nurse bagi appointment jumpa doktor minggu depan baru nak scan. Harap-harap anak dalam perut ni sihat la dan Allah pelihara sampai selamat bersalin...amin..

Haikal yang kurang sihat

Alhamdulilah kembali bekerja seperti biasa hari ini selepas 2 hari cuti hujung minggu.

Minggu ni kami duduk di rumah sahaja memandangkan abg masuk pejabat ada kerja pada hari Sabtu. Petang Sabtu kami ke Bangi untuk mencari kedai gambar untuk ambil gambar 4R Haziq bagi pendaftaran PASTI 5 tahun Haziq tahun depan. Alhamdulillah segala urusan berjalan lancar semalam dan Haziq selesai daftar di PASTI depan rumah kami sekarang. Bayaran pendaftaran secara ansuran dahulu sebanyak RM450 semalam.

Cerita hari Jumaat lepas, aku memang ambil separuh hari kerja sebab malam tu Haikal dah demam. Tambahan pula selsema Haikal masih belum hilang selepas 5 hari. Balik tengahari tengok Haikal ok dan tengah seronok main kereta. Rupanya telinga dia jadi bernanah semula. Aku dan abg pun bergegaslah ke Kecemasan Hospital Putrajaya tengahari Jumaat tu. Tunggu jumpa doktor pun sudah 1 jam. Lepastu ke Klinik Pakar ENT dan doktor sedut nanah di telinga Haikal. Seperti biasa Haikal kena makan antibiotik Augmentin dan Antibiotik titis teling selama 10 hari.. Mencabarnya bila nak titis ubat dalam telinga Haikal. Kesian Haikal, baru sebulan telinga dia elok dari bernanah, tapi jadi balik.. Harini nampak dah kurang sikit selesema Haikal..

Pagi Ahad semalam pula, bawa anak-anak pergi main basikal di Masjid Besi.. Seronok anak-anak dapat main...
Haikal di Klinik ENT
Haziq pun ikut pergi ke Hospital
Main basikal 
Haikal nak naik basikal
Nangis nak naik basikal abg
Singgah pejabat ayah sekejap

Friday, October 24, 2014

Pengesahan Jawatan

Alhamdulillah..semalam aku sudah selamat terima surat pengesahan jawatan dari SPA..Genap setahun aku dah selesai pengesahan jawatan..alhamdulilah Allah permudahkan urusan...



Untuk dapatkan pengesahan jawatan ni, aku kena selesaikan beberapa perkara iaitu:

1. Lulus Tapisan Keselamatan
2. Lulus Program Transformasi Minda
3. Lulus Ujian Peperiksaan Perkhidmatan Awam/ Kerajaan.

Alhamdulillah Allah permudahkan semuanya yang telah aku selesaikan bulan April lalu..

Beli barang baby lagi

Semalam aku sempat singgah di Anjung Presint 1 untuk cari lagi barang persiapan nak bersalin. Alhamdulillah apa yang dicari semuanya ada dapat aku beli. Habis dalam rm200 jugalah..

Yang bestnya beli di kiosk kat situ boleh la dapat murah sikit berbanding harga jualan biasa...insyaAllah mudah-mudahan ada manfaatnya...amin...

Miskin dalam Kekayaan


Dalam hidup, lihat dulu apa yang telah kita ada. Syukuri. InsyaAllah, apa yang ada itu akan ditambah oleh Allah. Atau, dengan syukur itu kita akan diberi hati yang tenang. Itulah kekayaan sejati. Mengapa melihat apa yang tiada… lalu hati jadi resah, gelisah dengan sayu. Orang lain kenapa mendapat lebih, sedangkan aku terus-terusan kekurangan? Begitu, gerutu jiwa. Jangan mengenangkan apa yang tidak ada menghilangkan rasa syukur dengan apa yang kita telah ada. Justeru, syukuri apa yang telah ada dan teruslah berusaha untuk memburu apa yang tidak ada. Namun, beringatlah, dalam pemburuan itu, jangan hilang sesuatu  yang lebih berharga. Sesuatu yang tidak ada galang gantinya. Ya, betapa ramai yang memburu kekayaan hilang ketenangan. Memburu kesenangan, hilang kesihatan. Mencari harta, membuang saudara.
Aku perlu mengingatkan diri ku sendiri dan diri orang lain juga. Kuantiti harta jangan cuba menggantikan kualiti jiwa. Kerana kualiti jiwa itu jauh lebih berharga. Nilai diri kita yang hakiki terletak pada sesuatu yang tidak akan dapat dibeli oleh wang dan harta. Itulah iman dan persaudaraan. Iman dan persaudaraan itu lazim berlaziman. Bila hilang salah satunya, maka hilang pula yang kedua. Lalu…apabila kesibukan mencari harta, semakin terasa kehilangan saudara, ketahuilah itulah detik yang sangat berbahaya.  Renggangnya persaudaraan petanda kurangnya iman.  Apa gunanya harta tanpa iman dan persaudaraan? Untuk apa harta itu? Bukankah ia hanya alat untuk memberi ketenangan? Memburu harta tidak salah, tetapi jangan dipinggirkan iman dan persaudaraan dalam pemburuan itu… Nanti, kita bukan lagi memburu harta tetapi kitalah yang diburunya. Waktu itu kitalah yang menjadi mangsa.
Sedikit coretan dari http://genta-rasa.com/2014/10/03/miskin-dalam-kekayaan/#more-2949 

Thursday, October 23, 2014

Beli barang baby

Semalam cuti umum sebab Deepavali... kami tak ke mana-mana cuma duduk di rumah. Melayan karenah anak-anak main lepastu gaduh....marah-marah...nangis.. Aqil la yang paling banyak kena marah dan kena rotan.. kadang-kadang kesian juga..tapi nak buat macamna...kalau tak ditegur takut perangai menjadi teruk...

Lewat petang kami ke Kedai Manjaku di Bangi..cari barang baby dan habis dalam rm300... alhamdulillah..selesai satu bahagian.. Ahad ni pula nak kena setelkan pendaftaran sekolah Haziq dan bayar yuran lebih kurang rm500..

Haikal selesema lagi..

Masuk 4 hari Haikal selesema masih belum baik lagi walaupun dah bagi makan ubat selesema. Nampak tiada kesan langsung ubat selesema pada Haikal.. malam tadi nampak selsema Haikal makin teruk. Hingus dah mula pekat dan Haikal susah nak bernafas masa tidur. Tengok dia nafas pun guna mulut. Lepastu malam tadi pukul 3pagi pun badan Haikal panas. Abg pun kejutkan dia dan bagi makan ubat demam. Mungkin sebab selesema tu yang buat badan dia jadi panas...

Apa yang aku takut adalah telinga Haikal bernanah balik. Ya Allah..mohon dijauhkan dari segala penyakit berbahaya. Mungkin juga antibodi badan Haikal dah kurang. Harapnya cepatlah Haikal sihat.
Haikal pun minum susu dah kurang. Boleh kata sehari tu sebotol je la...tapi alhamdulillah selera makan masih ada.

Aqil dan Haziq pun dah mula kurang minum susu waktu malam. Aqil dah boleh terima untuk minum susu dalam cawan...

Alhamdulillah abg dah dapat panggilan temuduga untuk HLP...semoga abg berjaua nanti..

Wednesday, October 15, 2014

31 Tahun Masihi

Semalam 14 Oktober 2014, genap umurku 31 tahun masihi.. Alhamdulillah masih diberi kesihatan yang baik dari Allah..

Semalam juga kandunganku masuk ke minggu yang ke 33..Alhamdulillah setakat ini masih baik dan aktif bergerak dalam perut ni. Cuma kadang-kadang memang badan rasa tak larat terutamanya bila balik kerja dan waktu baring nak tidur malam. Susah sangat rasa nak bangun dari tidur waktu malam.

Semalam anak-anak bising nak beli kek harijadi untuk ummi, tapi disebabkan gaji belum masuk, pujuk jugalah diorang dan akhirnya aku buatkan kek batik je. Siap-siap masak, Aqil dah makan terus dan tak sempat nak sejukkan dulu dalam peti ais. Haziq pula makan pagi tadi sebelum ke rumah pengasuh. Itu je la  yang mampu ummi buatkan..

Aqil dengan mainan baru walkie-talkie

Haikal tidur keletihan

Haziq muka mengantuk