Friday, October 24, 2014

Miskin dalam Kekayaan


Dalam hidup, lihat dulu apa yang telah kita ada. Syukuri. InsyaAllah, apa yang ada itu akan ditambah oleh Allah. Atau, dengan syukur itu kita akan diberi hati yang tenang. Itulah kekayaan sejati. Mengapa melihat apa yang tiada… lalu hati jadi resah, gelisah dengan sayu. Orang lain kenapa mendapat lebih, sedangkan aku terus-terusan kekurangan? Begitu, gerutu jiwa. Jangan mengenangkan apa yang tidak ada menghilangkan rasa syukur dengan apa yang kita telah ada. Justeru, syukuri apa yang telah ada dan teruslah berusaha untuk memburu apa yang tidak ada. Namun, beringatlah, dalam pemburuan itu, jangan hilang sesuatu  yang lebih berharga. Sesuatu yang tidak ada galang gantinya. Ya, betapa ramai yang memburu kekayaan hilang ketenangan. Memburu kesenangan, hilang kesihatan. Mencari harta, membuang saudara.
Aku perlu mengingatkan diri ku sendiri dan diri orang lain juga. Kuantiti harta jangan cuba menggantikan kualiti jiwa. Kerana kualiti jiwa itu jauh lebih berharga. Nilai diri kita yang hakiki terletak pada sesuatu yang tidak akan dapat dibeli oleh wang dan harta. Itulah iman dan persaudaraan. Iman dan persaudaraan itu lazim berlaziman. Bila hilang salah satunya, maka hilang pula yang kedua. Lalu…apabila kesibukan mencari harta, semakin terasa kehilangan saudara, ketahuilah itulah detik yang sangat berbahaya.  Renggangnya persaudaraan petanda kurangnya iman.  Apa gunanya harta tanpa iman dan persaudaraan? Untuk apa harta itu? Bukankah ia hanya alat untuk memberi ketenangan? Memburu harta tidak salah, tetapi jangan dipinggirkan iman dan persaudaraan dalam pemburuan itu… Nanti, kita bukan lagi memburu harta tetapi kitalah yang diburunya. Waktu itu kitalah yang menjadi mangsa.
Sedikit coretan dari http://genta-rasa.com/2014/10/03/miskin-dalam-kekayaan/#more-2949 

No comments: