Thursday, December 11, 2014

Hari ke 11 berpantang

Alhamdulillah..hari ini selesai berurut selama 3 hari berturut-turut tukang urut datang rumah. Itupun cari tukang urut dalam facebook. Dari syarikat Bless Beauty Confinement. Syarikat yang keluarkan produk set bersalin Nona Roguy. Aku cuma ambil pakej urut bersalin sahaja. Cas rm70 untuk 1 sesi.

Dengan rasminya, baby ke 4 ini dinamakan Muhammad Naufal bin Mohd Fairuz.. Dicadangkan oleh Tok dan abg.  Muda-mudahan ada keberkatanya. NAUFAL bermaksud pemurah, dermawan.

Selesai menamakan dan tahnik untuk Naufal pada hari ke 7 selepas keluar wad. Cuma masih belum berkesempatan untuk mencukur rambutnya.

Alhamdulillah Naufal tak banyak ragam... sekarang dia masih banyak tidur lagi. Nangis bila nak susu dan bila time mandi. Sebab aku masih belum kuat nak mandikan dia lagi. Mandi pun ala kadar je. Sehari sekali.

Cum yang masih merisaukan ialah kuningnya.. dah 2 kali berulang ke klinik tapi bacaan kuning masih belum turun. Masa keluar wad bacaannya 191. Pergi klinik bacaan naik ke 194. Pagi tadi ambil darah lagi bacaan naik ke 215. Esok kena ulang lagi ke klinik untuk ambil darah. Mujur abg masih cuti lagi.

Memang keempat-empat anak aku semuanya kena demam kuning. Paling lama ialah Haziq sampai kena prolonged jaundice selama sebulan. Jenuh berulang alik klinik di kampung. Kebetulan masa tu abg memang ada keje di kampung. 3 minggu jugalah berulang alik klinik dan ambil sampel bagai. Alhamdulillah semua normal. Cuma masalah Haziq masa tu adalah susah nak buang air besar. Itupun salah satu punca yang kuning susah nak turun. Masa tu berpantang pun rasa kejap je sebab ulang alik klinik je banyak.

Banyak juga cabaran bila berpantang sendiri ni. Semuanya kena hadapi dengan sabar. Kadang-kadang menangis juga sebab pening menguruskan anak-anak yang lain. Tapi terpaksa hadapi juga. Sementara abg masih cuti bolehla abg uruskan semua... minggu depan abg dah pun mula kerja semula..

Wednesday, December 3, 2014

Hari ketiga berpantang

Hari ini masuk hari ketiga berpantang setelah melahirkan adik. Alhamdulillah kesihatan adik semakin baik bila adik mampu menyusu dan kerap menyusu. Adik pun banyak berak dan kencing selepas menyusu. Mudah-mudahan adik cepat sembuh.

Ummi ditempatkan bersama adik di Pusat Bersalin Berisiko Rendah Presint 8. Dah cukup baik bila Allah izinkan ummi bersama adik setiap masa berbanding masa adik di nicu sebab ummi tak dapat temankan adik di sana. Ummi dan adik kena tinggal di sini sehingga hari ke tujuh adik nanti. Lama rasanya...tapi demi kesihatan adik...ummi akan tetap bersama adik.

Alhamdulillah Allah kurniakan susu yang banyak untuk adik. Hari ketiga dah cukup banyak susu ummi untuk adik hingga ummi rasa bengkak susu. Setiap kali lepas adik menyusu, ummi akan pam semula untuk keluarkan susu yang banyak untuk elakkan ummi sakit sebab bengkak susu.

Alhamdulillah...mudah-mudahan Allah sentiasa memberi kesihatan yang baik buat adik, ummi, ayah, abg Aqil, abg Haziq, abg Haikal serta Tok dan Tok Wan yang ada juga bersama menjaga abg-abg adik masa ummi di wad bersama adik... Amin..

Mengandung dan melahirkan adik (anak ke 4)

Alhamdulillah...segalanya selamat selama mengandung hingga melahirkan adik pada 1 Disember 2014 pukul 3am di Hospital Putrajaya.

Adik lahir setelah stress dalam perut ummi dan tertelan najis sendiri. Kuasa Allah tiada siapa dapat menghalang walau ummi setiap hari berdoa semasa mengandungkan adik agar sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dipelihara Allah sehingga saat adik dilahirkan.. Ummi juga sentiasa memohon pada Allah agar Allah mengurniakan anak perempuan pada kandungan ummi yang keempat ini. Namun Allah dah punya perancanganNya untuk ummi dan ayah. Allah kurniakan juga pada ummi dan ayah anak lelaki iaitu adik.  Namun itu bukanlah penting...yang penting anak yang Allah kurniakan  sihat dan sempurna.

Sedari awal mengandungkan adik, ummi tak menghadapi sebarang masalah. Ummi tak pernah tahu kewujudan adik dalam perut ummi sehinggalah suatu hari ummi tergerak untuk scan perut ummi di klinik sebab setiap hari ummi rasakan perut ummi semakin membesar. Bila scan dan doktor kata ada baby dah berusia 20 minggu..ummi sungguh-sungguh terkejut. Perasaan ummi bercampur baur antara terkejut, pelik dan bersyukur adik masih sihat dan bernyawa.

Sebab sebulan sebelum itu, ummi pernah turun darah yang agak banyak dan ummi sangkakan itulah period ummi. Tapi memang pelik keadaan darah yang turun sebab terlampau banyak. Rupanya Allah masih pelihara adik dalam kandungan ummi. Masa itu juga ummi baru hentikan pengambilan pil perancang ummi ketika adik berusia 20 minggu dalam kandungan.

Kalaulah ummi tahu kewujudan adik dalam perut ummi, ummi akan jaga sebaiknya dari awal. Ummi takkan lasak sangat, ummi takkan teruskan ambil pil perancang, ummi takkan makan nanas bila masa berbuka puasa, ummi takkan pakai pad herba sehingga ummi tumpah darah masa kandungan 15minggu..ummi takkan beli dan pakai corset bila ummi nampak perut ummi makin membesar...dan semua kesilapan-kesilapan ummi masa mengandungkan adik.. maafkan ummi adik...

Memang ummi akui masa mengandungkan adik banyak cabaran dan tekanan yang ummi hadapi. Selalu juga ummi menangis bila keadaan sedih. Ummi stress bila menguruskan dan menghadapi karenah abg-abg adik yang tengah membesar. Ummi letih setiap hari bila balik dari kerja. Ditambah dengan keadaan ummi yang semakin sarat...ummi rasa keletihan yang amat sangat. Ummi tahu ummi tak boleh bersedih bila mengandung...tapi ummi rasa tak mampu nak hadapi ujian dari Allah... lemahnya ummi...

Bila adik dilahirkan dalam keadaan stress dan tertelan najis sendiri..sedikit sebanyak ummi rasa terkilan dan ralat juga..kenapa adik stress..kesian adik sebab dah tertelan najis sendiri..masa ummi berjuang melahirkan adik, adik juga berjuang untuk hidup dalam perut ummi sehingga adik dilahirkan..

Selesai saat melahirkan adik, ummi langsung tak berkesempatan untuk pegang dan lihat wajah adik. Nurse terus bawa adik untuk sedut najis yang adik dah telan. Nurse juga cuba untuk selamatkan adik bila masa adik lahir, hampir-hampir terbelit tali pusat dan takut adik lemas. Ummi sungguh-sungguh keletihan selepas melahirkan adik dan tak mampu nak bergerak semasa masih di labour room.. nasib ummi masa tu katil di wad penuh dan ummi dibenarkan duduk di labour room untuk beberapa jam. Selepas 2 jam baru nurse tunjukkan adik pada ummi untuk diberi menyusu. Tapi hanya sempat 5 minit sahaja..dan selepas itu..adik terpaksa dibawa ke nicu untuk duduk di sana. Tinggallah ummi keseorangan sehingga waktu tengahari ummi dishacrge dari wad bersalin dan ummi pergi melihat adik di nicu. Apa yang ummi fikirkan adalah adik tak lapar ke sebab dah hampir 10jam adik tak menyusu. Bila ummi dan ayah datang melihat adik di nicu..adik hanya tidur dan hanya dipakaikan pampers sahaja. Ada antibiotik yang doktor masukkan di tangan kiri adik..

Tengahari itu juga doktor izinkan ummi untuk susukan adik tapi selepas itu ummi kena balik ke rumah. Nampak adik sangat lapar bila menyusu dengan ummi...kesian adik...adik juga berjuang untuk hidup.. alhamdulillah penerangan dari doktor tentang adik adalah semuanya ok. Ada sedikit sahaja jangkitan pada paru-paru adik.

Malam dan pagi esoknya ummi tiada susu untuk diberikan pada adik. Doktor dah beri adik susu formula untuk elakkan adik lapar...ummi pasrah... alhamdulillah hari kedua Allah izinkan ummi untuk bersama adik bila doktor melihat keadaan adik bertambah baik. Adik dipindahkan ke pusat bersalin berisiko rendah bersama ummi. Bolehla ummi sentiasa bersama adik. Mudah-mudahan susu ummi dapat menjadi penawar terbaik untuk adik. Terpaksalah ummi berkorban untuk 5 hari seterusnya berada bersama-sama adik untuk menghabiskan ubat antibiotik adik. Ayah pula terpaksa berkorban untuk menjaga abang-abang adik yang lain di rumah.

Mudah-mudahan adik terus sihat selepas ini. Amin...

Thursday, November 27, 2014

Sambutan Majlis Harijadi Aqil di Nasyrah Child Care Centre SPA

Semalam diadakan Sambutan Harijadi di Nasyrah Child Care Centre SPA. Sempatlah abg dan Haziq pergi sekejap. Rupanya sambutan untuk harijadi Bulan Disember diadakan sekali semalam. Kalau ikutkan Birthday Aqil nanti 21 Disember. Jadi Teacher Aqil pun suruh juga Aqil untuk duduk depan dengan kawan-kawan yang lain. Cuma silapnya takde kek untuk Aqil sebab aku tak tau pun ada sambutan sekali. Jadi Aqil bergambarlah dengan kek kawan-kawannya. Mungkin Aqil terasalah juga sebab takde kek untuk dia..kesian juga pada Aqil.

Haziq di sekolah abg

Bergambar bersama kek masing-masing

Penerangan dari Teacher Suhaiza

Seronok Haziq


Persediaan

Tengok kek kawan-kawan je

2 Hari Haziq ikut ayah duduk di Pejabat

Jadi semalam lepas aku check up di klinik kesihatan, sempatlah juga singgah kedai kek Baker Cottage depan rumah tu belikan kek untuk dia. Balik sekolah semalam pun apalagi dia pun tak sabar-sabarlah nak potong kek.

Aqil potong kek

Bergambar sebelum potong kek



Semalam ambil Haikal awal dalam pukul 3pm. Masa tu dia tengah tidur kat rumah pengasuh. Tapi kejutkan jugalah. Tapi bila sampai rumah, dia meragam, mengamuk, menangis tak tau nak apa.. sampai terbawa-bawa masa tidur malam pun asyik menangis dan mengamuk je. Tapi bila waktu main dengan abg-abgnya elok pula...Macam-macam ragam si Haikal ni.

Haikal yang suka main dengan abg Haziq




Tuesday, November 25, 2014

Masuk 39 minggu

Hari ini dah 39 minggu usia kandungan...masih belum ada tanda-tanda aku nak bersalin. Rasa lambat pula kali ni nak bersalin. Tiga orang anak sebelum ni semua bersalin sekitar 38 minggu dan tak lebih sampai 39 minggu. Sekarang pun dah rasa tak larat nak jalan. Apatah lagi dari tempat parking kereta ke pejabat. Malam-malam dah susah tidur sebab perut selalu mengeras dan sakit terasa menekan pundi kencing.

Semalam aku dan abg cuti jaga anak-anak. Kebetulan sekolah Aqil pun cuti sebab hari graduasi sabtu lepas. Sabtu Ahad pun kami tak kemana sebab Abg, Haikal dan Haziq kena cirit birit dan tak berapa sihat. Alhamdulillah Haziq ok bila minum teh o pekat tanpa gula tu. Hilang sakit perut dan cirit biritnya.

Cuma Haikal je masih cirit birit dan harini pengasuh bagitau yang Haikal muntah melambak lepas minum susu dan lepas tu berak cirit pula...ya Allah...kesian Haikal... tak tahu lah apa puncanya sampai kena cirit birit. Ingatkan sebab ubat titis telinga yang Haikal ambil tu buat dia cirit. Tapi abg dah call doktor di klinik pakar cakap ubat titis telinga tu ok. Takdalah sampai boleh buat cirit dan muntah. Tapi Haikal cirit birit dan muntah pula hari ni...

Cepatlah sembuh anakku...kesian bila tengok Haikal kena makan macam-macam ubat.

Malam-malam pun Haikal susah tidur dan asyik menangis. Mungkin jangkitan telinga dia sama tu...kesian Haikal...

Friday, November 21, 2014

Temujanji haikal di klinik ent

Alhamdulillah selesai sudah temujanji untuk Haikal di klinik Pakar ENT Hospital Putrajaya pukul 11am tadi. Alhamdulillah dah berkurangan nanah dalam telinga Haikal. Tapi masih ada lagi. Masih kena jaga kalau masa mandi sebab tak boleh masuk air.

Haikal masih kena titis ubat ke dalam telinga dia selama 10 hari. Next appointment adalah pada 26 Disember nanti. Rasanya aku masa tu masih dalam pantang. Diharapkan telinga Haikal sembuh sepenuhnya.

Lepas habis appointment tadi terpaksa hantar terus semula ke rumah pengasuh. Sebab aku rasa tak larat nak jaga dia time rehat ni. Petang ni nak kena masuk pejabat balik. Dengan jalan banyak tutup lagi sebab ada formula eprix tu.

Ubat titis telinga untuk Haikal selama 10 hari
Sementara menunggu giliran dipanggil
Tengah seronok sebelum jumpa doktor

Thursday, November 20, 2014

Mohon Sekeping Hati Yang Tabah..




Memang enak dapat makan manisan pencuci mulut

Walau pun sedar tak sedar, ada penyakit yang sedang kita jemput. 

Memang tak seronok bila terpaksa mengharung pahitnya sebuah ujian 

Sedangkan itulah yang buat kita semakin matang menilai kehidupan... 

Antara manisnya gula dan manisnya madu
Kita mungkin keliru dan mudah tertipu
Antara masamnya mangga dan masamnya cuka
Kita mungkin tersilap menilai resamnya.





Ya Allah
Suratmu ini sudah ku terima
Sudah ku faham dan ku hadam maksudnya

Baiklah
Aku akan melangkah seperti yang diarah
Namun
Perhatikan aku ya Allah
Iringi aku dengan kekuatan mujahadah
Peluk aku erat-erat agar aku tidak lagi tersalah

Aku merayu bantuan-Mu
Sungguh
Tidak akan termampu aku 
Bergerak walau seinci
Tanpa bantuan yang Kau beri.

Ya Allah
Keluarkan aku dari sini dengan selamat
Permudahkan ku tembusi pintu taubat
Agar akhirnya nanti 
kita bisa bertemu
Dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. 

Ya Allah, 
Tunggu aku.